KHUTBAH JUMAAT 53 – 2 NOVEMBER 2007
HALLOWEEN : DI MANA UMAT ISLAM
Taqdim
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah
Saya menasihati diri sendiri dan menyeru kepada saudaraku muslimin, marilah kita bertaqwa kepada Allah, dengan meletakkan matlamat kehidupan ini hanya untuk Allah, menjadikan budaya kehidupan ini dengan keseronokan beribadah, melepasi cabaran hidup ini dengan menjauhi kesalahan, serta saling nasihat menasihati dan Bantu membantu antara saudara seislam setiap masa.
Sidang jumaat yang dikasihi
Dua hari yang lalu, acara tahunan Halloween kembali. Sama ada ianya diraikan oleh penganut Kristian, atau ianya telah diserap ke dalam budaya benua dan bangsa lainnya, aktiviti yang bermula asalnya di kepulauan utara Britain ini perlu dianggap sebagai bahan diskusi yang perlu untuk dibuat panduan, agar ianya menjadi amal jariah kita buat generasi muda, anak-anak dan seterusnya, sama ada kita ini dapat bersama sezaman dengan mereka atau pun tidak. Di Edinburgh, satu festival besar-besaran di adakan, mengumpulkan 200 orang professor dari pelbagai universiti, bertujuan memaparkan pada masyarakat riwayat sebenar Halloween, pengisian dan rasional mengapa ianya mesti diteruskan dan dipertahankan dalam kepercayaan mereka. Perbahasan yang memakan masa dua hari itu menampilkan ciri komersial perayaan ini yang disifatkan mengaut keuntungan berjuta. Data konsortium Ritel England menyatakan bahawa perbelanjaan merangka dan mengendalikan pesta ini meningkat sebanyak USD 228 juta. Fran Ota dari Persatuan Gereja Glen Ayr di Scarborough, Ontario, Canada menyatakan bahawa semua perayaan Kristian memiliki latar belakang penyembahan berhala. Ini sesuatu yang kita harus fikirkan untuk menjadikan golongan muda dan anak-anak kita untuk melihat perayaan hari-hari kebesaran Islam sebagai sesuatu yang ada ciri komersial, menarik dan penuh dengan pelbagai ruang diskusi. Di pihak kita, umat Islam masih tidak dapat akur dengan pendapat yang sama dalam persediaan menyambut Ramadhan dan Aidil Fitri, serta pelbagai isu berkaitan. Alangkah baiknya jika sambutan Ihya’ Ramadhan dan keceriaan Syawwal ditambah dengan pelbagai aspek komersial, dengan keterlibatan pelbagai pihak korporat, agar generasi muda mampu menanggap bahawa perayaan di dalam Islam adalah lebih menarik dan bermakna.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Apabila kita diajukan soalan oleh anak-anak tentang Halloween, apakah yang boleh kita lakukan? Kita seharusnya secara berhikmah perlu menerangkan kepada mereka mengapa ianya tidak ada dalam Islam, sejarah dan asal usulnya, kaitannya dengan kepercayaan dan teologi, serta kesannya pada pembentukan akal dan hati. Ajarkan kepada mereka tentang kegembiraan dan keseronokan Aidlfitri dan Aidil Adha. Kita seharusnya mempunyai informasi lengkap tentang asal usul dan rasional dua hari perayaan Islam ini. Di UK ini, kita akur bahawa keharmonian dan suasana pembudayaan ilmu anak-anak kita di sekolah perlu sentiasa disuburkan. Kefahaman dan kesefahaman akan menimbulkan perasaan hormat menghormati sesama agama dan ianya sesuatu yang tidak mustahil dilakukan. Pendirian islam dalam soal perayaan tidak seharusnya dijadikan isu dan dakwaan bahawa kita menolak integrasi antara kaum, bangsa dan agama. Isunya ialah, jika sesuatu agama mampu memperuntukkan masa, tenaga dan kewangan untuk memastikan ianya disambut dan difahami oleh anak-anak mereka generasi muda, maka mengapa tidak ibu bapa muslim berusaha bagi memastikan anak-anak mereka memahami dan bakal menyambung kegembiraan meraikan hari-hari kebesaran Islam. Bagaimana mungkin kita meletakkan rasa bangga di hati mereka untuk meraikan hari-hari kebesaran Islam, andai kita tidak mampu menyatakan dan berkongsi kerasionalan sesuatu tindakan dan amalan.
Barakallu li walakum
Mohd Erfino Johari
erfino@masduke.net